Showing posts with label #pendidikan #education. Show all posts
Showing posts with label #pendidikan #education. Show all posts

Wednesday, June 11, 2025

Penyelidik IPTA Malaysia kini boleh terbit artikel secara terbuka di jurnal antarabangsa

PAUH PUTRA – Para penyelidik di kesemua 20 universiti awam (IPTA) di Malaysia kini boleh menerbitkan artikel mereka secara Akses Terbuka (Open Access) dalam lebih 2,000 jurnal antarabangsa terbitan Springer Nature tanpa bayaran penerbitan individu.

Kemudahan ini adalah hasil pelaksanaan Transformative Agreement (TA) pertama di Asia Tenggara yang dimeterai antara Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KONSEPT) dan penerbit antarabangsa Springer Nature, dalam satu majlis peluncuran yang berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini.

Melalui perjanjian ini, penyelidik IPTA boleh menerbitkan artikel dalam jurnal hibrid secara terbuka sekali gus meningkatkan capaian dan impak penyelidikan mereka di peringkat global, tanpa perlu memohon atau membayar Article Processing Charges (APC) secara individu.

Ia turut membolehkan akses penuh kepada lebih 2,300 jurnal teks penuh Springer Nature sejak tahun 1997, memberikan kelebihan besar dari sudut ketersediaan sumber ilmiah dan penjimatan kos langganan bahan penyelidikan.


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelaksanaan TA ini menyokong usaha kerajaan memperluas dasar keterbukaan ilmu serta menggalakkan budaya penerbitan berimpak tinggi dalam kalangan warga akademik.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman, langkah ini menandakan peralihan daripada model langganan konvensional kepada model ‘Read and Publish’ yang lebih lestari dan menyokong amalan sains terbuka.

“Ini bukan sahaja memudahkan proses penerbitan penyelidik, malah menjadikan IPTA Malaysia lebih kompetitif di pentas global,” katanya.


Sementara itu, Naib Presiden Jualan bagi Jepun, Asia Tenggara dan Oceania Springer Nature, Antoine Bocquet, berkata Malaysia kini berada di barisan hadapan rantau ini dalam mendorong perubahan ke arah ekosistem penyelidikan terbuka dan inklusif.

Malaysia menjadi negara ketujuh di Asia menyertai inisiatif TA bersama Springer Nature, selepas Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Taiwan, membuktikan kesediaan sistem pendidikan tinggi negara ke arah transformasi digital dan keterbukaan ilmu.

Kolaborasi Rentas Negara untuk Kemandirian Ekonomi Komuniti

SEORANG pensyarah dari Universitas Muhammadiyah Malang, Indonesia telah melaksanakan program khidmat masyarakat antarabangsa yan...