PERJALANAN pasangan pelancong warga Malaysia di pusat bandar Bangkok berakhir dengan tragedi apabila mereka diserang secara tiba-tiba oleh seorang lelaki yang mengguyur tubuh mereka dengan bahan mudah terbakar sebelum menyalakan api.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam Khamis lalu, mangsa lelaki, Ong Yik Leong, 26, dan teman wanitanya, Gan Xiao Zhen, 27, dilaporkan sedang berjalan berhampiran sebuah pasar raya terkenal sebelum diserang dari arah belakang.
Suspek, Varakorn Pabthaisong, 30, yang juga bekas petinju profesional dan kini menganggur, menuang thinner ke atas badan kedua-dua mangsa lalu menyalakan api menggunakan pemetik. Api marak dengan pantas menyebabkan mereka menjerit kesakitan sambil cuba menyelamatkan diri.
Orang awam bertindak pantas memadamkan api sebelum mengejar dan menahan suspek yang kemudiannya diserahkan kepada polis. Serangan itu disifatkan sebagai rawak selepas siasatan awal mendapati suspek tidak mengenali mangsa.
Mangsa lelaki kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Police General akibat melecur tahap kedua pada bahagian atas badan manakala mangsa wanita menerima rawatan di Hospital King Chulalongkorn Memorial. Kedua-duanya dilaporkan stabil tetapi masih dalam pengawasan rapi.
Ketua Polis Metropolitan Bangkok, Jeneral Thiti Saengsawang, berkata suspek mengaku tiada sebarang permusuhan dengan mangsa dan mendakwa tertekan kerana kehilangan pekerjaan dan kelaparan.
Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand menyatakan simpati mendalam kepada keluarga mangsa dan berjanji memberikan bantuan penuh termasuk pengurusan hospital, insurans dan kerjasama dengan Kedutaan Malaysia.
Di Malaysia, Wisma Putra memaklumkan pegawai konsular telah dihantar ke Bangkok bagi membantu mangsa dan keluarga yang kini berada di sana, selain menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Thailand untuk tindakan lanjut.