100125: JUMAAT
POLIS berjaya menahan dua wanita warga Kemboja yang disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia dalam satu operasi di kawasan Gapura Square, Padang Besar, pagi Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, seorang wanita berstatus pemastautin tetap berusia 43 tahun (B1) ditahan ketika memandu sebuah kenderaan jenis Toyota Unser berwarna hitam.
Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan tersebut menemukan lima lelaki warga asing, di mana empat daripadanya memiliki pasport tamat tempoh manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Hasil soal siasat awal ke atas B1 membawa kepada penahanan seorang lagi wanita warga asing berusia 34 tahun (B2) di lokasi yang sama. B2 dipercayai bertindak sebagai tekong yang menguruskan kemasukan warga asing tersebut ke negara jiran.
Menurut siasatan, B1 menerima upah RM400 daripada B2 untuk membawa kesemua lelaki warga asing itu dari negara jiran ke Padang Besar. Sementara itu, B2 bertanggungjawab menguruskan kemasukan mereka ke negara jiran dengan bayaran RM900 seorang.
Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.
B1 dan B2 kini ditahan reman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Lima lelaki warga asing pula ditahan reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen bermula 7 Januari 2025.
Pihak polis memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan haram ini bahawa tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.
Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis untuk memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan memastikan keselamatan sempadan negara terpelihara.
No comments:
Post a Comment