MUSIM harumanis kembali lagi dengan tanaman buah mangga ikonik negeri Perlis ini kini mula berbunga sekitar lima hingga 10 peratus.
Hasil tuaian dijangka bermula penghujung Mac ini.
Dengan keluasan tanaman mencecah 1,745.79 hektar, harumanis Perlis melibatkan 2,693 petani yang mengusahakan emas hijau Perlis itu.
Kawasan berhasil pula merangkumi 1,611.59 hektar, menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan kawasan penanaman mangga di Malaysia yang berjumlah 4,415.28 hektar.
Isu harga, polemik tidak berkesudahan
Setiap kali musim harumanis tiba, polemik mengenai harga menjadi topik hangat perbincangan.
Harga antara RM35 hingga RM40 sekilogram sering dianggap tinggi, terutamanya oleh pembeli luar negeri.
Ungkapan seperti ‘cekik darah’ dan ‘harga Yahudi’ sering dilontarkan di media sosial, namun perkara ini tidak menjejaskan permintaan apabila statistik menunjukkan peningkatan setiap tahun, dengan tahun lalu sahaja mencatatkan pengeluaran sebanyak 2,022 tan metrik bernilai RM46.513 juta.
Kos penjagaan tinggi, proses rumit
Tidak ramai yang tahu bahawa proses penjagaan harumanis menelan belanja tinggi dan memerlukan pemantauan sepanjang tahun.
Kos ladang bagi menghasilkan sekilogram harumanis dianggarkan antara RM10 hingga RM12, dengan penjagaan 100 pokok sahaja menelan kos sekitar RM12,000.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis Negeri, Datuk Hashim Suboh menjelaskan, penjagaan harumanis amat mencabar.
Ini kerana pokok harumanis mudah diserang perosak seperti lalat buah dan ulat batang, memerlukan penjagaan rapi sepanjang tahun.
Kos ladang yang tinggi menyebabkan harga ladang sekitar RM18 hingga RM20 sekilogram dengan margin keuntungan sekitar RM6 hingga RM8 sekilogram,.
Pengusaha perlu menjaga tanaman ini sepanjang tahun untuk memastikan kualiti terjaga dan memenuhi kepuasan pembeli.
Pendapatan Lumayan, Usaha Tidak Sia-sia
Bagi pengusaha yang mahu dikenali sebagai Hafizudin Ali, penjagaan harumanis bukan sahaja mencabar tetapi juga 'manja' kerana perlukan perhatian penuh sepanjang tahun.
Dia yang mengusahakan tanaman di Kamlung Darat sejak 11 tahun lalu berkata, faktor cuaca seperti panas dan kering amat penting bagi memastikan buah berkualiti.
Menurut pemuda itu, setiap musim, dia boleh menjana pendapatan sekitar RM15,000 hingga RM20,000 dengan penghasilan sekitar satu tan metrik. Namun, proses penjagaan memerlukan kos tinggi sehingga RM,2500 bagi 500 pokok,” katanya.
Menurut Fairus, kebanyakan hasil dijual secara dalam talian dan sentiasa habis setiap musim, membuktikan permintaan yang tinggi terhadap buah ini.
Keunikan harumanis Perlis
Mangga harumanis Perlis diiktiraf sebagai harta intelek sejak 2 Ogos 2011 dan telah diperbaharui sehingga 2031.
Maklumat Jabatan Pertanian Perlis menunjukkan bahawa faktor tanah dan cuaca Perlis menghasilkan harumanis yang unik dengan tekstur halus, isi berwarna jingga kekuningan, serta rasa manis dan berjus.
Harumanis Perlis memerlukan musim kemarau dari Januari hingga Mac untuk berbunga dan berputik. Perbezaan suhu siang yang panas dan malam yang sejuk turut memainkan peranan penting.
Musim harumanis yang singkat selama dua hingga tiga bulan menjadikan buah ini eksklusif dan berbeza daripada mangga lain.
Hasil pengeluaran dijangka meningkat
Kerajaan negeri Perlis menjangkakan hasil tuaian harumanis akan bermula penghujung Mac ini sekiranya keadaan cuaca kekal kering bagi mengelakkan kerosakan bunga akibat hujan.
Jika hujan, bunga akan luruh atau menjadi kehitaman, menjejaskan hasil pengeluaran,
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Exco Pertanian Perlis menegaskan bahawa pengeluaran harumanis hanya perlu dikekalkan mengikut musim bagi mengekalkan kualiti, permintaan dan harga buah tersebut.
No comments:
Post a Comment